Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah, Kuala Terengganu mula dibuka pada Mac 1953, hasil kombinasi dua buah sekolah kecil iaitu Sekolah Melayu Petai Bubus dan Sekolah Melayu Buluh Gading. Kedua-dua sekolah ini telah wujud sejak tahun 1948 lagi. Usaha mencantumkan kedua buah sekolah ini yang mungkin merupakan sekolah cantuman pertama di negeri Terengganu diilhamkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu sendiri.
Atas inisiatif yang tinggi kepada pendidikan, Allahyarham Tuan Baru bin Tuan Embong, Ketua Kampong Petai Bubus pada waktu itu telah menghadiahkan sebidang tanah miliknya bagi dijadikan tapak sekolah ini yang mana sebelumnya dipenuhi semak samun, pokok kemunting dan tembesu yang yang menjadi sarang binatang hutan.
Oleh kerana sekolah ini terletak di tengah-tengah sawah Kampong Petai Bubus dan di tengah-tengah kampung sekitarnya seperti Kampong Banggol Donas, Kampong Tanjung Sabtu, Kampong Buluh Gading, Kampong Paya Datu dan Kampong Banggol Tuan Muda maka nama “Kampong Tengah” telah dipilih dan dipersetujui bersama. Nama itu dicadangkan oleh Guru Pelawat ketika itu iaitu Allahyarham Engku Bijaya Wangsa Che Wan Abu Bakar bin Cik dan diterima baik oleh semua penduduk terlibat.
No comments:
Post a Comment